BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, 29 December 2011

Cinta dan Cinta


CINTA itu adalah anugerah daripada Allah kepada semua makhluk ciptaannya. Allah menciptakan segala sesuatu itu secara berpasangan-pasangan (lihat Surah Ar-rum ayat 21) iaitu lelaki dengan perempuan dengan tujuan agar mereka saling mengisi kekurangan dan kelebihan di antara mereka yang pada akhirnya akan tumbuh cinta dalam hati mereka.

Cinta dapat membawa keberkatan jika kita boleh mengarahkannya ke jalan yang diredai oleh Allah s.w.t, tetapi cinta juga boleh membawa kepada petaka, malah menjerumuskan kita ke lembah kemaksiatan dan jauh daripada norma Islam.

Bercinta janganlah mengiku nafsu semata, tetapi ia perlu berasas kepada agama dan batas Islam. Cinta nafsu adalah cinta yang tidak mengikuti aturan Islam. Ia bebas berbuat apa saja.
Ada beberapa kerosakan akibat cinta nafsu ini. Pertama, lupa mengingati Allah kerana mereka lebih sibuk mengingati makhluk-Nya yakni orang yang dicintainya.

Contohnya jika dia lebih kuat mengingati Allah, insya-Allah mengingati makhluk pasti terkendali. Tapi jika lebih kuat mengingat makhluk-Nya maka mengingati Allah akan dikalahkan.
Kedua, melupakan agama. Tiada orang yang paling mensia-siakan agama dan dunia melebihi orang yang sedang dirundung cinta nafsu.

Ia mensia-siakan maslahat agamanya kerana hatinya lalai untuk beribadah kepada Allah s.w.t.
Ketiga, mengundang bahaya. Bahaya dunia dan akhirat lebih cepat menimpa kepada orang yang dirundung cinta nafsu melebihi kecepatan api membakar kayu kering.
Ketika hati berdekatan dengan orang yang dicintainya secara buta itu, ia akan menjauh dari Allah s.w.t. Jika hati jauh daripada Allah, semua jenis bahaya mengancam dari segenap sudut kerana syaitan sudah menguasai dirinya.

Jika syaitan sudah menguasai diri, mereka berada dalam keadaan bahaya.
Cukuplah dengan fakta masalah perzinaan dan penularan penyakit seksual berlaku dalam dunia hari ini. Begitu juga dengan gejala buang bayi yang tidak berdosa amat menggerunkan.
Keempat, syaitan akan menguasai. Jika kekuatan syaitan menguasai seseorang, ia akan merosakkan akalnya dan memberikan rasa was-was.

Akal kadang-kadang sudah tidak terkendali ibarat seperti meletakkannya di kepala lutut. Padahal yang paling berharga bagi manusia adalah akalnya yang membezakannya manusia dan haiwan.
Jadi jangan hairan jika ramai yang terjerumus melakukan maksiat kerana fikiran mereka menjadi singkat. Apa yang sentiasa mereka fikirkan adalah hawa nafsunya iaitu mahu sedap dan seronok saja.
Kelima, kurang kepekaan. Cinta nafsu akan merosak indera atau mengurangi kepekaannya. Apabila diri penuh dengan dosa maka hati akan rosak. Jika hati sudah rosak maka organ lain, seperti mata, lisan, telinga juga turut rosak.

Ertinya, ia akan melihat yang buruk pada diri orang yang dicintainya secara nafsu itu sebagai sebuah kebaikan atau sebaliknya.

Imam Ahmad menyebut: “Cintamu kepada sesuatu membutakanmu dan membuatmu tuli.”

Ibnu Abbas pernah mendengar berita ada seorang lelaki yang sangat kurus sehingga yang tinggal hanya kulit dan tulang
.
Ibnu Abbas berkata, “Kenapa ia? “Ia terkena jatuh cinta, isyq (cinta buta),” jawab seseorang.
Kemudian Ibnu Abbas berdoa dan berlindung kepada Allah s.w.t sepanjang hari daripada penyakit isyq. Kita perlu berfikir secara lebih dewasa dalam apa jua tindakan akan kita akan lakukan. Jangan main-main dalam menangani masalah serius itu.

Jangan sampai terbius oleh gemerlap kehidupan yang menawarkan kenikmatan sementara. Jika kita belum mampu untuk berkahwin maka janganlah berkahwin lagi kerana perkahwinan bukan urusan main-main.

Kita mesti rela untuk membuang fikiran murahan mengenai pertunangan adalah segala-galanya. Sebab, bercinta adalah salah satu bahagian ekspresi cinta nafsu.

Wahai remaja, mulai sekarang tumbuhkan dahulu kecintaan kita kepada ilmu agama sehingga kita memahaminya serta mengamalkannya dalam kehidupan kita seharian. Semoga pula kita tidak tergoda dengan cinta nafsu semata.

Ustaz Zawawi Yusoh

Sunday, 25 December 2011

Tabahkanlah Jiwa Anda


Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh. Syukur kehadrat Illah kita masih diberi peluang untuk berkongsi ilmu. Disini saya akan menyampaikan 5 cara untuk menjadi hamba Allah yang sentiasa tabah dalam menghadapi bermacam-macam masalah. Seperti yang kita dah tahu, masalah kesedihan yang semakin ‘common’ di-era ini ialah putus cinta. Tetapi putus cinta tidaklah begitu memeritkan kalau kita sentiasa mengingati 5 perkara ini. Saya ada tertarik dengan beberapa artikel untuk menangani kesedihan. Salah satu artikel itu ada menyentuh tentang masa anda. Anda mesti memenuhi masa anda dengan perkara berfaedah dan jikalau belum dapat menanganninya, anda luahkan kesedihan anda didalam sebuah buku diary atau luahkannya didalam web social seperti blog, twitter dan facebook. Jikalau masih juga belum ada kurangnya, carilah seorang teman yang dipercayai DAN ilmu agamanya yang tinggi. Ini adalah kerana, islam itu agama yang indah, mempunyai cara yang senang untuk menghadapi apa juga keadaan. Kawan yang anda pilih itu seharusnya mempunyai sifat yang tenang dan sanggup meluangkan masa untuk mendengar keluhan anda dan yang paling penting sekali, dia tidak takut untuk member apa jenis pandangan dan nasihat berunsurkan islam. Ketiga, memperbanyakkan dzikir dan dekatkan diri kepada Allah kerana Allah itu Maha Mendengar.

Untuk menangani kesedihan, ketabahan perlu ada sebagai teman. Bagaimana untuk mencari ketabahan itu?


5 TIPS AGAR JIWA TABAH
MENGHADAPI UJIAN YANG MENDATANG
1. DUNIA INI SEMENTARA, ALLAH PENENTU SEGALANYA
Sentiasa menyedari bahawa hidup di dunia ini hanya lah sementara dan permainan sahaja. Kita hidup atas dunia ini hanya sekali, jadi kita tidak boleh mensia-siakannya dengan sesuatu yang tidak bermakna. Ikhtiar yang disertai dengan niat yang sempurna itulah yang perlu ada. Perkara apapun yang terjadi, kita patut serahkan sepenuhnya kepada Allah Yang Maha Tahu agar menentukan yang terbaik buat kita. Kita harus sedar betul bahawa, yang terbaik bagi kita menurut pandangan kita, belum tentu terbaik bagi kita menurut Allah Ta ’ ala. Pengetahuan kita tentang diri kita atau tentang apapun amat terbatas. Sedangkan pengetahuan Allah menyeliputi segala- galanya. Sehingga betapa pun kita sangat menginginkan sesuatu, tetapi hati kita harus kita persiapkan untuk menghadapi kenyataan yang tak sesuai dengan harapan kita. Kerana mungkin itulah yang terbaik bagi kita. Ingatlah bahawa, Allah itu Maha Adil lagi Bijaksana.

2. REDHA
Realiti hidup yang terjadi pada kita, kita kena terima dengan redha dan seadanya. Itulah kenyataan dan episod hidup yang harus kita jalani. Emosional, sakit hati, tertekan, atau apa jua perkara yang membuat hati kita menjadi kecewa dan sengsara, harus kita tinggalkan. Ingatlah bahawa, samaada kita tertekan dan tidak gembira, atau kita tidak tertekan dan gembira, ia tetap begitu jadinya. Maka adalah lebih baik kita redha dan terima apa yang berlaku dengan berlapang dada dan hati yang terbuka. Perit kita telan, manis pun kita telan. Nikmatilah pahit manis itu seadanya.

3. INGAT JANJI ALLAH
Meyakini bahawa hidup ini bagai siang dan malam yang pasti silih berganti. Tak mungkin siang terus menerus dan tak mungkin juga malam terus menerus. Pasti setiap kesenangan ada hujungnya begitulah masalah yang menimpa kita, pasti ada akhirnya. Kita harus sangat sabar menghadapinya. Ujian yang diturunkan Allah kepada kita, pasti sudah ditetapkan dengan penuh keadilan. Tak mungkin ujian yang menimpa itu, melampaui batas kemampuan kita. Kerana Allah tak pernah menzalimi hamba-hambaNya. Ingatlah bahawa, semua fikiran negatif dan emosi buruk kita hanya akan mempersulitkan dan menyengsarakan diri kita saja. Pujuklah h ati, agar kita tidak menekan diri sendiri. Hati dan fikiran kita dipujuk agar tetap tenang, tabah dan sabar. Kita harus berani menghadapi mehnah masalah ujian demi ujian. Kita tak boleh lari dari kenyataan. Kerana lari nya kita itu tak akan menyelesaikan masalah. Bahkan ia sebaliknya hanya akan menambah permasalahan. Jadi, semua yang berlaku harus kita hadapi dengan baik. Kita tak boleh menyerah mudah, kita tak boleh kalah menyerah. Pastinya segala sesuatu itu ada akhirnya. Begitu jualah permasalahan yang kita hadapi. Seberat manapun ujian Allah pada kita, yakinlah dengan janji Allah Ta ’ ala : “Fa innama’al usri yusran, inna ma’al usri yusran”. Maka sesungguhnya bersama kesulitan itu pasti ada kemudahan, dan bersama kesulitan itu pasti ada kemudahan. Janji Allah itu pasti benar. Kerana itu, apalah guna kita menekan diri.

4. PASTI ADA HIKMAH
Semua apa yang terjadi, samaada baik atau buruk, terjadi adalah dengan izin dan kehendak Allah Ta ’ ala. Dan pastinya Allah tak mungkin berbuat sesuatu dengan sia-sia. Setiap sesuatu perkara itu, pasti ada hikmah disebaliknya. Sepahit mana pun derita yang kita tanggung, pasti ada kebaikan yang terkandung di dalamnya jika kita terima dan hadapi dengan sabar dan redha. Cuba kita renung dan fikirkan, kenapa Allah mentakdirkan semua ini menimpa kita. Setidak-tidaknya ia adalah sebagai peringatan atas dosa-dosa dan kelalaian yang kita telah lakukan. Atau mungkin Allah mahu naikkan darjat dan kedudukan kita di sisi Nya. Mungkin agak sukar untuk kita sedar kesilapan dan kesalahan yang telah kita lakukan. Namun, iktibar dari setiap ujian yang menimpa sebenarnya mencerminkan amalan dan tingkah laku yang kita lakukan. Tak usah takut atau bimbang menerima kekurangan dan kesilapan yang kita telah lakukan. Yang penting, kita mesti berazam sungguh-sungguh untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat. Muhasabahlah diri, bertaubat atas dosa dan mohonlah hidayah dan kekuatan daripadaNya.

5. ALLAH SAJA PENOLONG KITA
Kita wajib meyakini bahawa, walau seluruh manusia, jin dan semua makhluk atas dunia ini bergabung untuk menolong kita sekalipun, ketetapan Allah tetap akan berlaku. Semua usaha pasti tidak akan membuahkan hasil tanpa izin Allah Ta ’ala. Hati kita mesti bulat yakin sepenuhnya bahwa hanya Allah lah satu-satunya yang dapat menolong dan memberi jalan keluar terbaik daripada sebarang perkara yang terjadi. Allah Maha Berkuasa atas segala-galanya. Dialah pemilik dan penguasa segala sesuatu. Dialah yang mengatur segala-galanya. Maka, kita harus bermunajat dan berusaha menagih simpati daripadaNya agar menolong kita. Mengadu dan dekatilah Allah dengan membuat amalan yang disukaiNya. Pohonlah hidayah, kekuatan dan pertolongan daripadaNya. Bebaskan hati dan diri kita daripada mengharap pada makhluk dan selain daripada Allah. Tagih dan pintalah pertolongan dengan sabar dan solat. Ingatlah firman Allah Ta ’ ala yang bermaksud “ Barang siapa bertakwal kepada Allah, nescaya akan diberi jalan keluar dari setiap urusannya dan diberi rezeki dari arah yang tak disangka-sangka, dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya akan dicukupi segala keperluannya. ”(QS [65] : 2-3) Akhir kata, aku doakan semoga dikau tabah menghadapi dugaan dan ujian hidup yang sementara ini. Jaga lah hubungan dengan Allah. Buatlah segala apa yang diperintahkanNya. Dan tinggalkanlah semua laranganNya. Semoga dikau beroleh petunjuk dan diberi kekuatan oleh Allah dalam mengharungi hari-hari mendatang. All the best! Kepada semua pembaca , saya juga mendoakan agar anda semua diberkati dan dirahmati oleh Allah Ta ’ala. Semoga hidup kita aman bahagia dan ceria selalu .

WaALLAHualam Bissawaf.

Friday, 23 December 2011

Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya.

Assalamualaikum semua teman-teman yang dirahmati Allah. Laman ini akan dipenuhi dengan beberapa issue tentang agama kita-agama Islam, sejarah perkembangan Islam, mempelajari bahasa arab dan juga tips untuk menghadapi liku-liku kehidupan kita seharian, InsyaALLAH. Semua ini adalah berperanan untuk membimbing sesama sendiri untuk melangkah kehadapan, menuju kejalan Sirotol Mustaqim, insyaALLAH. Saya sangat mengalu-alukan anda memberi komen tidak kiralah ianya  positif atau negatif. Yang penting, semuanya ikhlas dengan satu niat, iaitu niat hanya untuk ALLAH S.W.T.
Disini saya ingin berkongsi tentang manfaat pengetahuan jamin kecemerlangan organisasi

Ianya kata hikmah dari Imam al-Ghazali dalam nasihat al-Muluk. Beliau mengatakan, manusia ada empat kategori.  Pertama, seorang berpengetahuan dan tahu apa yang dia tahu. Dialah orang berilmu. Kedua, orang berpengetahuan, tetapi dia tidak tahu apa yang dia tahu. Dialah pelupa. Hendaklah kamu mengingatkannya. Ketiga, orang tidak berpengetahuan dan sedar dia tidak tahu. Dia memerlukan tunjuk ajar. Hendaklah kamu mengajarnya. Keempat, orang tidak berpengetahuan tetapi tidak tahu apa dia tidak tahu. Dialah orang yang bodoh. Hendaklah kamu memberikannya ilmu pengetahuan.

Sudah tentu kita tidak mahu berada dalam kategori manusia terakhir. Tetapi apabila direnungi, sejauh mana semangat kita menerokai dan berkongsi ilmu dalam persekitaran? Mungkin kita terfikir sejenak dan terbayang kesibukan setiap hari menguruskan rumah tangga, keluarga, kerja dan masyarakat.

Ini antara alasan sering disebut-sebut. Sedangkan apabila kita membaca kisah sahabat dan tabiin yang sanggup mengembara jauh dari Madinah ke Damsyik, semata-mata mencari ilmu, kita patut rasa malu pada diri sendiri dan kagum dengan mereka.

Mereka bermusafir hanya untuk mempelajari satu hadis daripada sahabat yang mendengar sendiri daripada Baginda Rasulullah SAW. Mereka memiliki semangat dan kecintaan tinggi terhadap ilmu.

Antara kisah masyhur ialah Said al-Musayyab, Abu Darda' dikenali sebagai hakim al-ummah (kebijaksanaan umat) dan Abdullah Abbas, dikenali dengan hibr al-ummah (yang terpelajar dalam kalangan umat Islam) dan bahr al-ulum (lautan ilmu pengetahuan).

Hebatnya semangat mereka menjunjung ilmu walaupun terpaksa menempuh kepayahan sehingga melahirkan tamadun Islam yang gemilang. Semangat mereka itu patut kita jadikan iktibar selepas Allah dan Rasul-Nya membentangkan segala kelebihan ilmu kepada kita.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa Allah inginkan kebaikan kepadanya, maka Dia akan memberikan kepadanya pemahaman mendalam dalam urusan agama." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ini membuktikan kebaikan tidak akan terhasil tanpa pemahaman ilmu membawa kepada kebaikan iaitu ilmu agama itu sendiri. Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk.

Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan.

Kepentingan ilmu termaktub dalam wahyu Allah, surah al-Alaq. Ibn Kathir dalam tafsirnya menerangkan ayat itu menunjukkan rahmat dan nikmat pertama Allah kepada hamba-Nya iaitu memerintahkan mereka mempelajari ilmu pengetahuan serta mengajarkan apa yang tidak diketahui.

Hal ini terlebih dulu dilakukan dengan mengurniakan serta memuliakan kita dengan akal. Ibn Khaldun dalam kitabnya al-Muqaddimah mengatakan, umat Islam mendapat kedudukan mulia dan tinggi dalam dunia apabila mereka mempunyai ilmu pengetahuan.

Oleh itu, antara usaha Rasulullah SAW ialah meminta tawanan musyrikin dalam Perang Badar mengajar umat Islam membaca sebagai syarat tebusan.

Selaras tumpuan pembangunan masyarakat berteraskan pengetahuan yang diistilahkan sebagai K-Society, dalam alam pekerjaan ia perlu terus diberikan penekanan tinggi. Penguasaan ilmu secara langsung melalui kelayakan akademik semata-mata belum mencukupi menjamin kecemerlangan.

Sebaliknya, mereka yang kurang baik pencapaian akademik juga boleh mencapai kecemerlangan dalam kerjaya jika terus meningkatkan pengetahuan melalui pembelajaran berterusan sebagai usaha pembangunan kendiri.

Begitu juga bagi yang berada pada tahap tinggi dalam perjawatan, perkongsian bijak perlu digalakkan dalam organisasi supaya pengetahuan mereka dapat dimanfaatkan sepenuhnya ke arah pencapaian matlamat organisasi.

Ilmu pengetahuan itu bermanfaat apabila diamal dan dikongsi dengan orang lain. Ia menjadi sedekah paling baik.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pembudayaan ilmu adalah warisan Rasulullah SAW yang tidak ternilai. Justeru, pelihara warisan ini serta marilah kita menyemarakkan budaya penerokaan ilmu dalam persekitaran kerja untuk manfaat diri dan organisasi.

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Siasah Syar'iyyah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

WaALLAHualam Bissawaf : )